Tuesday, 11 September 2012

INTERNSHIP 2


LAPORAN PROGRAM “ KEMBARA ILMU “ SEK. KEB. BATU SEMBILAN
( 17 JULAI 2012 )

Pendidikan Pemulihan berkonsepkan satu perkhidmatan yang diadakan khas untuk murid–murid yang menghadapi kesulitan pembelajaran khususnya dalam menguasai satu-satu kemahiran membaca, menulis dan mengira sebagai asas menjadi fokus Kurikulum Baru Sekolah Rendah.
Pendidikan pemulihan merupakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang disediakan untuk menolong murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran dalam menguasai sesuatu kemahiran dengan pendekatan, bahan-bahan pembelajaran serta aktiviti yang alternatif. Murid-murid yang dimaksudkan itu biasanya digelar murid-murid lambat kerana gagal menguasai sesuatu kemahiran dalam masa yang ditentukan. Oleh itu, pada 17 Julai yang lalu, saya dan rakan praktikum serta guru-guru Sekolah Kebangsaan Batu Sembilan yang terlibat telah menjayakan program “Kembara Ilmu” sebagai usaha membantu murid yang bermasalah dalam pembelajaran terutamanya dalam menguasai kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.





Program ini merupakan kesinambungan bagi program yang pernah dijalankan pada tahun 2009 oleh guru Pemulihan Khas, Pn.Ummi Habibah bt Salleh. Fokus utama dalam program ini ialah untuk membantu murid Pemulihan LINUS yang sedia ada di Tahun 2 dan 3 serta murid LINUS Tahun 1. Matlamat utama program ini dijalankan adalah untuk meningkatkan tahap penguasaan murid dalam kemahiran membaca, menulis, dan mengira (3M). Program ini dijalankan di luar kelas harian murid iaitu di kelas Pemulihan dan dewan Sek. Keb. Batu Sembilan bagi menarik minat murid dan murid dapat menerima pengajaran yang ingin disampaikan dengan baik.
Program ini turut mempunyai beberapa objektif yang ingin dicapai. Antaranya ialah membantu meningkatkan tahap penguasaan murid dalam kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M). Seterusnya, meningkatkan kemahiran psikomotor halus dan kasar murid di luar kelas harian serta menyerlahkan kreativiti murid dalam menguasai kemahiran-kemahiran yang didedahkan.
Aktiviti yang dilaksanakan dalam program ini dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu aktiviti cerdik pintar, minda kreatif dan cergas cerdas. Program ini berlangsung sepanjang hari waktu pembelajaran. Program ini bermula pada pukul 2.10 petang hingga 6.30 petang. Program ini berlangsung dengan jayanya mengikut perancangan yang telah diatur dan ditetapkan.
Sebelum memulakan aktiviti, murid dikumpulkan dan diberikan taklimat ringkas berkaitan program yang akan dilaksanakan. Kemudian, semua murid yang terlibat dalam program ini dibawa ke kelas pemulihan.  Murid-murid dibahagikan kepada 5 kumpulan iaitu Kumpulan Bulan, Kumpulan Bintang, Kumpulan Awan, Kumpulan Hujan dan Kumpulan Pelangi. Setiap kumpulan telah dipilih seorang ketua dan dikehendaki memakai tag nama kumpulan masing-masing.
Setelah semua murid berada dalam kumpulan masing-masing dan bersedia untuk terlibat dalam program Kembara Ilmu ini, aktiviti pertama dimulakan iaitu aktiviti cerdik pintar. Aktiviti cerdik pintar ini merupakan pedekatan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan dalam mengukuhkan penguasaan murid terhadap kemahiran mengenal abjad. Rata-rata murid mempunyai masalah dalam mengenal abjad ‘a’ hingga ‘z’. Rasional aktiviti ini dilaksanakan adalah untuk melihat dan menguji keupayaan murid dalam menguasai kemahiran mengenal abjad dengan betul. Aktiviti ini berlangsung selama satu jam.
Objektif aktiviti cerdik pintar ini dilaksanakan supaya murid dapat mengaplikasikan kemahiran mengenal abajd untuk meningkatkan lagi kemahiran bahasa mereka kepada kemahiran yang lebih tinggi sehingga murid dapat membaca dengan baik dan lancar. Semua murid terlibat dalam aktiviti ini dan aktiviti dikendalikan oleh guru praktikum dan guru Pemuliha    n Khas Sekolah Kebangsaan Batu Sembilan. Aktiviti dimulakan dengan set induksi nyanyian lagu abc yang berentak lagu “Doraemon”. Kelihatan murid terhibur dan seronok untuk memulakan pembelajaran. Seterusnya, proses pengajaran dan pembelajaran dimulakan. Murid diperkenalkan huruf dan sebutan huruf dengan betul.
Kemudian, murid diajar membentuk huruf dengan betul. Bahan pengajran yang digunakan ialah bahan interaktif melalui paparan slaid. Seterusnya, bagi melihat pencapaian murid dalam menguasai abjad yang diajar, murid diberikan kad abajd kepada setiap kumpulan. Kemudian, guru menyebut mana-mana abjad dan murid perlu mengecam abjad yang didengar seterusnya mengangkat abjad tersebut. Kumpulan yang mengangkat abjad dengan betul akan diberikan markah.  
Setelah itu, program diteruskan dengan aktiviti kedua iaitu ‘Minda Kreatif’. Rasional aktiviti ini dijalankan adalah bertujuan mengembangkan kemahiran psikomotor halus murid dalam mengaplikasikan kemahiran pembelajaran mereka. Aktiviti ‘minda kreatif’ ini adalah berbentuk permainan dan merupakan peneguhan daripada aktiviti yang pertama. Permainan yang dijalankan diberi nama ‘Da Di Du Puzzle’. Murid dikehendaki menyelesaikan puzzle yang terdapat dalam sampul yang disediakan. Murid perlu bekerjasama dalam kumpulan masing-masing untuk bersaing antara kumpulan yang lain bagi mengumpul mata.
Objektif utama aktiviti ini dilaksanakan adalah supaya murid dapat melahirkan kreativiti mereka sewaktu menjalankan aktiviti yang diberikan disamping memberi penekanan kepada murid dalam meningkatkan kemahiran psikomotor halus mereka. selain itu, aktiviti ini adalah bertujuan menggalakkan semangat berpasukan dan kerjasama antara satu sama lain. Kumpulan yang paling banyak menyiapkan puzzle yang mengandungi abjad dan gambar yang mewakili abjad tersebut dianggap sebagai pemenang bagi aktiviti kedua ini.
Permainan bermula setelah guru memberikan arahan yang jelas kepada murid. Ketua kumpulan perlu membaling dadu untuk memulakan permainan. Kumpulan yang paling banyak mata setelah membaling dadu akan mendahului permainan. Seterusnya, untuk bermain dalan permainan “Da Di Du puzzle” ini ketua kumpulan  perlu membaling dadu. Angka yang terdapat pada dadu merupakan angka yang yang terdapat pada baldi yang berisi sampul-sampul yang didalamnya mengandungi ceraian-ceraian puzzle. Ketua kumpulan perlu mengambil salah satu sampul dalam baldi yang disediakan mengikut angka yang diperolehi pada dadu. Kemudian, murid perlu menyelesaiakn ceraian puzzle tersebut dengan tepat di dalam gelung rotan yang disediakan kepada semua kumpulan. Setiap puzzle mempunyai mata ganjaran.Aktiviti kedua turut berlangsung selama satu jam. Setelah masa tamat, wisel dibunyikan menandakan berakhirnya aktiviti kedua dan murid perlu menghentikan permainan. Kemudian, berkhirnya aktivit kedua ini maka murid diberikan rehat. Murid disediakan makanan dan minuman berupa ayam KFC dan air kotak. Semua murid menjamu selera dengan riangnya.
Program diteruskan lagi dengan aktiviti ketiga iaitu ‘Cergas Cerdas’. Rasional aktiviti ini dilaksanakan adalah untuk membantu murid dalam kemahiran psikomotor kasar murid disamping menerapkan aktiviti Pendidikan Jasmani kepada murid. Antara objektif aktiviti ini ialah bagi memupuk semangat kesukanan dalam kalangan murid. Selain itu, memupuk kerjasama dalam kalangan murid dan guru melalui aktiviti sukan. Di samping itu, murid dapat mengamalkan gaya hidup yang sihat. Aktiviti ketiga ini merupakan aktiviti terakhir dalam program yang dirancang. Aktiviti “Cergas Cerdas” ini terdiri daripada sukaneka yang melibatkan kemahiran psikomotor kasar murid. Murid perlu bergerak secara aktif dan cergas. Aktiviti yang terlibat dalam sukaneka ini ialah membawa bola pingpong dalam sudu dengan menggunakan mulut, mengepit bola, membawa bola menggunakan gelung rotan, mengutip gula-gula di dalam tepung menggunakan mulut dan mengisi air di dalam botol menggunakan span. Semua permainan memerlukan murid untuk bergerak secara aktif dan pantas. Murid kelihatan sangat gembira dan melibatkan diri secara aktif dalam setiap permainan yang dijalankan.










Seterusnya, selesai saja kesemua sukaneka bagi aktiviti yang ketiga ini murid-murid diarahkan untuk bergerak ke kelas pemulihan semula bagi sesi penutup dimana sesi penyerahan hadiah dan penyampaian sijil. Sebelum majlis penutup berlangsung, murid dihiburkan dengan lagu kanak-kanak dan menyanyi bersama-sama. Aktiviti penyampaian hadiah dilaksanakan oleh guru pembimbing, Pn. Ummi Habibah bt. Salleh, rakan praktikum, Norfiza bt.Musa dan saya sendiri. Majlis berlangsung dengan jayanya. Penyerahan sijil dilaksanakan pada hari yang lain kerana belum disahkan oleh Guru Besar Sekolah Keb. Batu Sembilan, Pn. Adonie Adnan. Kemudian, program diakhiri dengan sesi bergambar dalam kalangan murid pemulihan dan murid LINUS tahun 1. Seterusnya program bersurai dan murid dibenarkan pulang.

No comments:

Post a Comment