LAPORAN PROGRAM KECERIAAN
KELAS PEMULIHAN CAHAYA
SEKOLAH KEBANGSAAN BATU
SEMBILAN (“KELASKU RUMAHKU”)
( 10 JULAI 2012)
Kelas
Pemulihan sekolah adalah sebuah tempat yang menyediakan kemudahan serta bahan
pengajaran dan pembelajaran yang perlu diurus secara sistematik. Sehubungan
dengan itu, keceriaan kelas pemulihan adalah salah satu aspek penting dalam
menarik minat murid pemulihan untuk menjalani proses pengajaran dan
pembelajaran secara berkesan. Aktiviti keceriaan ini merupakan satu keperluan
dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih teratur, menarik dan efektif.
Oleh itu,
pada 10 Julai 2012 yang lalu, saya dan rakan praktikum telah menjalankan
program keceriaan kelas pemulihan Cahaya di Sekolah Kebangsaan Batu Sembilan.
Program ini berlangsung sekitar pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang. program
keceriaan ini bertujuan untuk melahirkan kesedaran dalam diri murid-murid
pemulihan berkaitan kepentingan penjagaan bilik darjah yang selesa, kondusif,
ceria dan rapi untuk suasana pembelajaran mereka. Program ini juga dapat memberikan pengalaman dan peluang
kepada murid untuk menyumbang sesuatu tanpa meminta sebarang ganjaran atau
bayaran. Di samping itu, program ini turut bertujuan membantu guru-guru dan kakitangan
sekolah dalam menceriakan kelas pemulihan Cahaya di sekolah berkenaan.
Selain itu, program ini bermatlamat
dalam mewujudkan suasana yang lebih
ceria dan berinformasi dalam usaha meningkatkan pencapaian murid pemulihan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tambahan pula, program ini mempunyai
beberapa objektif yang ingin dicapai. Antaranya ialah Merapatkan
hubungan silaturrahim diantara guru dan murid pemulihan, memberi peluang kepada
murid bekerjasama dengan guru-guru secara optimum dalam menceriakan kelas pemulihan. Seterusnya, memulihara,
menceriakan dan membersihkan bilik Pemulihan
sekolah agar murid dapat menjalani proses pengajaran dan pembelajaran
dalam suasana yang kondusif .
Pelbagai aktiviti yang telah
dilaksanakan sepanjang berlangsungnya program berkenaan. Antaranya ialah susun atur bilik darjah, menyediakan carta
organisasi pemulihan Sekolah Kebangsaan Batu Sembilan, menyediakan bahan
pengajaran dan pembelajaran bagi kelas pemulihan tersebut, menyediakan sudut
Mata Pelajaran seperti sudut Bahasa Melayu, sudut Matematik dan ruang ICT. Di
samping itu, aktiviti menghias, mengemas dan mencantikkan kelas pemulihan
berkenaan turut dilaksanakan.
Murid terlibat secara langsung
ketika waktu pembelajaran mereka di kelas pemulihan. Murid diberikan tugas
mengikut kemampuan mereka seperti menyusun bahan-bahan pengajaran contohnya
kad-kad abjad, pembilang untuk mengira dan sebagainya. Program dimulakan dengan
aktiviti menampal carta organisasi pada papan kenyataan yang telah disediakan
dalam kelas pemulihan berkenaan. Carta organisasi disediakan terlebih dahulu
pada hari sebelumnya supaya masa dapat diperuntukkan untuk melaksanakan semua
aktiviti yang telah dirancang. Kemudian, aktiviti diteruskan dengan mengubahsuai
susun atur bilik darjah pada susunan yang lebih teratur dan kemas. Untuk
aktiviti ini saya, rakan praktikum dan guru pembimbing bekerjasama untuk
memindahkan papan tulis kepada kedudukannya yang asal sebelum ini. Pemindahan
papan tulis tersebut bertujuan untuk memudahkan proses pembelajaran berlangsung
pada satu ruang sahaja. seterusnya, kami telah berbincang bersama-sama untuk
mewujudkan sudut Bahasa Melayu, Matematik dan sudut ICT. ruang ini diwujudkan
bagi memudahkan guru untuk melaksanakan aktivti pengajaran dan pembelajaran
serta membolehkan murid untuk menjalankan aktiviti pengukuhan dan pengayaan
seperti permainan dan sebagainya.
Aktiviti seterusnya ialah membalut
meja dan menyusun meja. Meja yang digunakan adalah sebanyak 10 buah. Setiap
meja dialas dengan tikar getah. Setelah selesai membalut meja, kami menyusun
meja tersebut secara dua-dua menghadap papan tulis. Susunan seperti ini
kelihatan lebih kemas dan teratur. Untuk menambahkan lagi kekemasan meja
tersebut, kami telah meletakkan kain sebagai hiasan meja berkenaan. Program
keceriaan disambung dengan aktiviti menghias ruang yang terdapat dalam kelas
pemulihan tersebut. Antaranya ialah membuat permainan teng-teng pada ruang
hadapan pintu masuk kelas tersebut. Permainan tersebut bertujuan sebagai hiasan
dan aktiviti yang boleh dilakukan oleh murid bagi proses pengajaran dan
pembelajaran sebagai aktiviti pengukuhan. Selain itu, kami turut menghias pintu
kelas pemulihan agar kelihatan lebih ceria dan menarik.
Aktiviti menceriakan dan
mencantikkan kelas pemulihan Cahaya akhirnya berjaya diselesaikan dan mengambil
masa selama 3 hari. Diharapakan dengan program keceriaan yang dilaksanakan ini
memberi manfaat kepada guru-guru dan murid-murid bagi meningkatkan lagi mutu
pembelajaran murid-murid pemulihan di sekolah ini. Di samping itu, program ini
adalah sebagai usaha memupuk kesedaran murid dalam memastikan bilik darjah
dalam keadaan ceria dan selesa supaya proses P & P dapat dijalankan dengan
berkesan. Semoga rancangan ini dapat membantu dalam meningkatkan keceriaan
bilik pemulihan Sekolah Kebangsaan Batu Sembilan agar mencapai slogan
"Kelas, rumahku".
No comments:
Post a Comment